THANKS (:

Friday, 24 February 2012

Gembirakan orang laen

GEMBIRAKAN ORANG LAIN

Jika kamu boleh mggembirakan org yg berduka,maka lakukanlah meskipun hanya dgn senyuman..... :))




hati yg sedih sngt memerlukan bantuan,biasenye ape yg terjdi kerana tiada kemampuan untuk mengatasi kesedihan yg membuat dirinya memerlukan sseorg yg sudi mndgr curahan hati.Seseorg yg memberi nasihat dgn disertai rasa kasih syg,atau org yg dpt mgubah kesedihannya...

sebahagian dr kite pada wktu skit memerlukn org yg mahu mnjgenya,memenuhi keperluannye dan merasakn kepentingannya.Juga ketika dalam pelbagai kesusahan yg menimpa dalam hidup. Jadi untuk itu,jgnlah kedekut untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.Tidak kire cara pertolongan dri kite mgikut kemampuan sme ade harta,tenaga,sokongan moral atau ape aje sekurg-krgnya mereka merasakan masih ade yg peduli tntg diri mereka.

...hidup kita seperti roda yang berputrar....

...waktu kita bahagia,ingatlah ade org lain yg berduka....

Tuesday, 6 December 2011

MAHLIGAI DIHIASI TAQWA

Teringat akan pertemuan pertama saya dengan bakal bapa mertua. Saya menjadi makmum kepada beliau semasa solat Maghrib. Beliau membaca sebahagian surah At-Tahrim, antaranya:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya adalah manusia dan batu, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim:6)
Ibn 'Abbas berkata tentang ayat ini:
Taatlah kepada Allah, jauhi keingkaran dan kedurhakaan kepadaNya, dan perintahkan keluargamu agar sentiasa ingat Allah, maka Allah akan menyelamatkan kamu daripada api neraka.
Mujahid berkata:
Bertaqwalah kepada Allah, dan perintahkan keluargamu agar bertaqwa kepadaNya.
Ingatlah kepadaNya
Firman Allah s.w.t :
Dan lelaki-lelaki yang banyak menyebut (nama) Allah serta perempuan-perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.(Al-Ahzab: 35)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Aku (apa yang Aku berikan) adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku (menyebut-Ku) dalam sekumpulan manusia, Aku mengingatinya (menyebutnya) dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka (kumpulan manusia itu).(Riwayat Muslim)
Bersangka baiklah kepada-Nya dalam segala perkara. Apabila berdoa, yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar, yakinlah bahawa Allah mampu dan akan memakbulkan doa, dengan cara yang dikehendakiNya, dalam bentuk yang dikehendakiNya, pada waktu yang dikehendakiNya.
Ingatlah kepada-Nya ketika senang, Dia pasti bersama kita ketika senang dan susah. Jangan hanya mencari Allah ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit, dan melupai-Nya sewaktu senang dan gembira.
Mulianya Kita Di Sisi Tuhan Dengan Taqwa
Takrif taqwa oleh sebahagian ulama', yang dinaqalkan oleh 'Abdullah Nasih Ulwan dalam kitab'Menuju Ketaqwaan' :
Memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal soleh (dan menjauhi maksiat) dan takut kepadaNya ketika terang dan tersembunyi.
Firman Allah Ta'ala:
30. Dan ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi, dan sesungguhnya negeri akhirat ialah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa.
31. (untuk mereka) Syurga-syurga 'Adn, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bertaqwa.
32. (Iaitu) Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu, masuklah ke dalam syurga disebabkan amal (kebaikan) yang telah kamu kerjakan".(An-Nahl: 30-32)
Sabda Rasulullah s.a.w. , sebahagian daripada hadis yang panjang:
Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hubungan dengan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka melalui perjanjian dengan Allah (kalimah/amanah Allah). (Riwayat Muslim)
Cinta Kita
Ya Allah, jadikanlah diri kami mencintai keimanan dan hiaskanlah iman itu (jadikanlah iman itu indah) dalam hati kami. Jadikanlah diri kami membenci kekufuran, fasiq dan maksiat serta jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

APABILA MEMINATI SESEORANG

Senyum je memanjang...ade ingat kat sesape ke?" Tegur kawanku. Aku tak perasan pulak sejak bila dia tenung aku.
"Ehhh... Zatel. Hehehe.... takdelah. Teringat sesuatu je." Balasku tersipu-sipu sambil membelek buku dengan otak yang kosong.
Entahlah. Sejak semenjak ini aku tidak tahu apa yang sedang bermain di kotak fikiran. Melayang entah ke mana. Ada sesuatu yang telah mencuit hati dan perhatianku. Walaupun terasa gatal menyibukkan diri dengan tugasan amanah tetapi tanpa diundang bayangan tersebut sering juga muncul dengan muka tidak tahu malunya.
"Hemmm...... aku tak tahulah kenapa dengan aku sejak akhir-akhir ini. Aku tak pasti apa puncanya." Luah hatiku dengan nada yang lemah.
"Kau kenapa? Cuba kau 'cer citer ckit' bagi aku paham. Ada masalah hati ehhh?"
"Ish kau ni! Cepat saja menekanya. Entahlah Zatel... aku rasa aku macam dah minat 'somebody'. Walaupun pernah berjumpa dan berbincang semeja sebelum ini, tapi aku dapat rasakan sesuatu selepas berjumpa dengan dia di dalam program aritu. Lepas balik je program tu aku macam nak tahu lebih dalam pasal dia. Aku selidik biodata dia dan apa kesukaannya. Tapi bukan tahap angau lagi ye."
"Aiwahhh.... Ustazah Rahmah dah jatuh cinta ke? Milik kepunyaan siapakah hatimu wahai sahabatku? Hehe.."
"Aku tak jatuh cintalah. Aku cuma minat je. Tapi bila aku fikir fikir balik, salahkah perasaan aku ini, Zatel?"
"Adusssss....... soal hati ini aku payah sikit nak jawab. Bukan apa, aku takda pengalaman la. Tapi yang aku yakin, kalau perasaan tu suci kerana Allah SWT bukan bersadurkan pandangan nafsu, rupa, material mahu pun duniawi.. 'tafaddhol masykura ya ukhti' ".
"Aku sendiri konfius dengan perasaan aku lagi. Aku tak nak lah perasaan ini menjadi permainan syaitan sehinggakan mengganggu kekhusyukkan solat dan ibadah aku. Aku nak ia suci supaya ada keberkatan dan keredhan Ilahi. Bagaimana harus untuk aku uruskan perasaan ini?"
************************
Dilema?
Sama ada untuk melayan perasaan tersebut dan meneruskan bayangan yang tak pernah muncul?
ATAU
Mengambil langkah berani dengan mencari orang tengah yang paling beriman dan dipercayai?
ATAU
Melupakan sahaja dengan menyibukkan diri dan fokus apa yang lebih penting?
**********************
Apa pilihannya? Keliru?
Ber'syura'lah. Berbincang elok-elok dengan orang yang paling dekat dengan kita, yang dalam ilmu dan pengalamannya. Arif dan alim tentang kemahirannya.
Selepas keputusan diputuskan bersama-sama, walau apapun pilihannya; ber-istikharahlah. Mohon Allah redhai setiap keputusan yang telah kita buat.
Apa yang penting?
Kesucian jiwa. 
"Benar-benar beruntunglah orang-orang yang suka mensucikan jiwanya. Dan benar-benar rugilah orang-orang yang gemar mengotorkan jiwanya." (Asy-Syams: 9-10)
Percayalah. Bahawa sesungguhnya mensucikan jiwa itu tugas paling utama bagi umat manusia yang dibawa oleh Rasullah SAW yang diutuskan oleh Allah.
Kesucian jiwa itulah tujuan utama bagi semua orang yang bertaqwa serta beriman kepada Allah. Bagi seseorang yang beroleh keselamatan dan kebahagiaan atau pun kesengsaraan. Dan kecelakaan di sisi Allah Taala itupun tergantung kepada kesucian atau kekotoran jiwa yang ada di dalam diri manusia itu sendiri.
Hanya Allah yang akan memberi penilaian namun kita wajib berusaha untuk mendapat penilaian yang baik dari Allah dengan izin dan kehendaknya.
***********************
Namun, andai kata kita sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi kesudahannya kita tetap dikecewakan. Bertabahlah! Itulah namanya kehidupan. dikecewakan dan mengecewakan. Dilukai dan melukai.

Saturday, 24 September 2011

KAMI PASTI MENYUSULMU,JANJI ALLAH PASTI


Petang itu langit mendung, kelam dan begitu sarat bagai mahu meruntuh.
seorang anak menziarahi pusara ayahnya. Bersama linangan air mata. Terdengar sayup-sayup suaranya yang menyatakan cinta pada Allah Yang Maha Esa. Mengirimkan kasih yang menebal di dada pada bapa yang telah tiada.
Dalam suasana hening itu, surah Yassin dialunkan dengan penuh tertib. Tersentuh hati kecil ini yang turut sama terasa rindu pada ayah yg sudah tiada...
Terdetik di hati, apakah habuan yang ada untukku nanti? Allahu Akbar, apakah agaknya situasi yang akan aku tempuhi? Bergetar rasa di hati, bila mengenangkan mati yang makin menghampiri.
Melihat situasi yang Allah aturkan buat si ayah yang telah pergi, hati rasa bahagia sekalipun kehilangannya benar-benar terasa. Saat menghadapi sakaratul maut, ibu tercinta ada di sisi. Dibelai dan diusap dengan kalimah-kalimah suci. Hingga perginya dengan aman sekali. Subhanallah, berbahagialah kamu,oh ayahku
Kini, pusaramu tidak pernah sunyi dengan kiriman-kiriman doa daripada ibu . Juga daripada abang, kakak dan adikmu yang sentiasa memohon agar dirimu diampuni dan dirahmati. Berbahagialah kamu wahai ayahku.
Suatu waktu, pasti kami akan menyusulmu. Sebagaimana kau telah menemani abah di sini. Begitu juga dengan yang lainnya. Setiap daripada kita telah berjanji pada Pencipta diri. Janji yang tidak dapat kita lari. Janji yang pasti kan termetrai, cuma bila dan di mana itu yang tidak pasti. Hanya Yang Menguasai mengaturnya tanpa kita sedari.
ayah ku,
Rintik-rintik hujan mula menyimbahi bumi,
Kami  terpaksa pergi,
Insya-Allah, jika punya usia kami pasti ke sini lagi,
Yang pasti kalungan doa buatmu serta muslimin muslimat yang lainnya akan sentiasa mengiringi,
Moga persinggahan kalian di sini,
Persinggahan yang mewangi,
Merehatkan diri daripada kekalutan duniawi,
Sementara menantikan hari kebangkitan yang dijanjikan Ilahi.
Sesungguhnya janji Allah itu benar, dan suatu waktu hamba yang dijadikan-Nya akan berkubur jua. Tiada lagi kehebatan dunia, sebaliknya kematian itulah kenyataan, kenyataan yang sering dilupai hamba yang bergelar insan. Astaghfirullah.
"Al Fatihah, buat semua muslimin muslimat yang telah tiada."

Saturday, 17 September 2011

CINTA SEORANG playBOY


Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa menambat hati gadis-gadis, dia begitu selesa dengan kehidupannya. Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.
Untuk apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya. Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka.
Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu. Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai janji kosong.
Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari pendaftaran degree untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi mangsanya seterusnya.
Sejak hari pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior. Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki. Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang sememangnya tidak pernah gagal menjerat hati seorang gadis. Setelah seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior, dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.
Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Aleefa atau Natasya. Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004, termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.
Allah S.W.T  Yang Maha Berkuasa  tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta. Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.
Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.
Tetapi lama kelamaan perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini, mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di dalam Islam. Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi berdua-duaan. Astagfirullahalazim!
Namun mereka sudah terlalu mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah. Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap bersungguh agar tidak dipisahkan. Maka, tanggal 3 September 2005, mereka pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember 2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka semakin menjaga batas pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali jika terdapat urusan-urusan penting yang terpaksa mereka selesaikan bersama. Namun di dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan hari yang ditunggu-tunggu. 
Tetapi kata orang, kita cuma mampu merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005, iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan selamanya. Tarikh itulah, tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat perbincangan mengenai persiapan perkahwinan. Halimatussaadiyah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30 malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah, seorang gadis yang amat dia cintai.
Saat dia sedar daripada koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur. 
Hari ke enam pada bulan Ramadhan, dia akhirnya dikeluarkan daripada hospital. Sepanjang berada di rumah, dia kerap bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah namun, ibu bapanya hanya mampu berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak diingini padanya. Akhirnya, ibu bapanya terpaksa meminta bantuan daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk membantu mereka memberitahu akan khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan. Sebaik mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi semakin tidak keruan. Dia tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya dengan menangis dan meratapi nasib. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi. Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.
Tetapi kisah dukanya tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya menjalani rawatan di hospital-hospital pakar dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah. Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian Halimatuhsaadiyah.  
Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu, akhirnya pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, iaitu lebih kurang 2 tahun lebih selepas kejadian tersebut, ingatan dia kembali pulih seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..
Sekarang, dia hanya meneruskan kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan kata-kata yang telah membuatkan dia tersedar dan melaksanakan apa yang sepatutnya dia lakukan. Di dalam mimpi tersebut, arwah telah memintanya agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian merealisasikan cita-citanya.
Ajaib bukan? Seorang playboy bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik bila-bila yang dikehendaki-Nya

ISIKAN JIWA MU


... Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan." - (Surah Ali-Imran : 148)
Duhai insan,
Jiwamu terasa kosong?
Perlu peneman,
Kekasih hati yang prihatin,
Pengisi jiwa ragamu itu.
Tapi tahukah kamu,
Cinta yang kamu dambakan itu menyakitkan.
Sering pula ia mengecewakan,
Selagi dia belum halal untukmu,
Selagi itu ia menyeksakan jiwamu.
Kamu dan dia belum ada ikatan,
Itu hakikat!
Meletakkan harapan...
Hanya bakal mengundang kekecewaan demi kekecewaan,
Kerana semuanya, masih tiada kepastian.
Hatimu kosong?
Isikanlah hatimu itu,
Jangan biar kekosongan menyelubung dirimu,
Berimanlah.
Yakinilah.
Bahawa Dia itu sentiasa dekat,
Amat-amat dekat,
Amat amat amat dekat.
Dia tahu kamu sedang berduka,
Dia Maha Tahu betapa berat ujian yang menimpa,
Dia mendengar segala rintih jiwamu itu,
Dirimu itu milik-Nya,
Dan pada-Nya jua ada pengubat jiwamu yang lara.
Isi hatimu...
Dengan cinta-Nya,
Syukurmu atas nikmat-nikmat yang kamu peroleh tidak terhitung jumlahnya.
Pengharapan yang kamu gantung hanya pada-Nya.
Sungguh,
Ia dapat menenangkan jiwa,
Setenang-tenangnya.
Bertawakkallah kepada-Nya
Yakinlah,
Dia punyai aturan untukmu,
Dan pastinya ia yang terbaik!
Sedang manusia itu hanya mampu bersangka-sangka.

YA ALLAH SETIA KN LAH IKATAN


"Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku." (Riwayat Muslim no. 2491)
Membina ikatan persis membina sebuah mahligai terindah, tapaknya perlu kukuh atas landasan kecintaan, dilengkapi batu bata kepercayaan dan diperteguh tiang kasih sayang. Tampak cantik dihias rona bebunga di taman, saat mentari pagi menyimbah cerlang sinarnya. Si Tiung singgah mengalun, berkicauan lagu cinta, saksi romantisnya jiwa. Namun, membinanya bukanlah semudah menyaksikannya, nampak kirana di mata tetapi memerlukan kudrat dan keringat dalam memacunya.
"Lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik."
Dalam memateri sebuah ikatan, elemen setia dan sedia menjadi perlambangan sejauh mana kekuatan sebuah ikatan. Berseminya ikatan tanpa kesetiaan, ibarat menunggu rumah ditelan rebah. Bertautnya ikatan tanpa kesediaan, ibarat menanti mahligai musnah berkecai.
Saat memilih untuk membina ikatan, eloklah diteliti apakah kita telah melengkapi keduanya.Bersetia menjalin cinta dan menongkah badai kehidupan bersama. Tidak pernah goyah diduga godaan, tidak pernah rebah diuji cabaran apatah lagi gundah disuntik rintangan. Hidup bersama rencahnya berjuta. Tika itulah kesetiaan benar-benar memainkan peranan.
Apabila lengkap elemen kesetiaan, lihatlah pula kepada elemen kesediaan. Usah sekadar terpesona dengan lafaz dan janji di bibir manis, namun intailah kesediaan menerima yang tak pernah gerimis. Ilmu agama disisip kemas di dada, agar hasutan syaitan dan iblis bisa ditepis. Sedia membimbing dan dibimbing. Nafsu amarah bukan wasilah melampiaskan kemarahan bukan pada tempatnya. Toleransi sebagai benteng utuhnya rukun sebuah ikatan.
''Sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita solehah''
Ketahuilah wanita solehah, bahawa dirimu amat bernilai. Selautan emas waima segunung permata bukan tandinganmu kerana dirimu jauh lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Usah mudah memberi cinta, kelak binasa jiwa. Sebaliknya, ujilah si dia agar simpulan kasih tidak mudah terungkai, ikatan sayang tidak mudah bercerai.
Jika ingin memilih membina ikatan, maka bersiagalah kerana era penuh air mata dan duka akan menantimu. Kuatkanlah keteguhan nalurimu agar segala yang ditempuhi mendapat inayah-Nya. Ingatlah bahawa mencari bahagia itu tidak ubah seperti menanam si mawar berduri. Sebaik ditanam tidak terus berputik bunga kirana, tetapi tumbuh dahulu duri yang berbisa.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Manusia yang utama adalah orang mukmin yang alim. Jika diperlukan dia diberikan manfaat, jika tidak diperlukan, dia pun kaya dengan dirinya sendiri."
Bagi arjuna, keperkasaan bukanlah bukti kelelakian sebenarmu. Layar bahtera akan dapat terus menyusur pantai impian, walau badai merempuh apabila mahligai ikatan dinakhodakan oleh lelaki yang beriman. Bisa melindungi dan membajai kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Menjadi pemimpin terulung kebanggaan pasangan, menyalur bimbingan dan pendidikan kepada ahli keluarga dan tidak merelakan diri menjadi dayus sehingga di akhirat kelak mendapat celaka. Bijaksana dalam merencana keputusan agar tidak menyinggung hati dan perasaan. Rasulullah menjadi tauladan dalam menjadi suami idaman. Suami ibarat mentari, memberi cahaya dan kehangatan. Isteri bagai bulan, cantik dan indah dipandang.
''Selembar benang berkait, akhirnya berpakai jua, setapak kaki berdikit, akhirnya berdiri juga''
Kepada sesiapa yang merasa diri masih bergelut dalam kekurangan dan belum memenuhi elemen-elemen ini, jadi bermulalah sekarang. Andai diri tidak setia, belajarlah memahami hakikat kesetiaan, signifikannya dalam ikatan.
Andai diri tidak sedia, namun mengharap bunga di taman larangan, penuhilah pengetahuan agama di dadamu. Kalungkanlah di jiwamu rasa tanggungjawab walaupun rasa jahil membelenggumu. Muhasabahlah diri agar terbinanya hubungan berkekalan hingga penghujungnya.