1. Ramai yang menyatakan kerinduan untuk bertemu Ramadhan. Dapat bertemu dengan Ramadhan adalah satu nikmat yang sangat berharga. Rindu biasanya dikaitkan dengan pertemuan, iaitu bertemu dengan yang dirindui. Apatah lagi jika pertemuan itu adalah yang terakhir. Ia adalah pertemuan perpisahan. Ia cukup berbeza dengan sebarang pertemuan yang masih ada peluang pertemuan selepasnya.
2. Manakala pertemuan yang paling dirindui adalah pertemuan dengan Allah Azza wa Jalla di akhirat kelak. Semua mukmin merindui saat yang membahagiakan ini. Ibn al-Qaiyim (751H) dalam kitabnya Toriq al-Hijratain wa Bab al-Sa’adatain menyatakan bahawa kenikmatan yang sempurna bukan sekadar makan dan minum di syurga, tetapi juga nikmat bertemu dengan Allah SWT. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Aku memohon kepadaMu kelazatan melihat wajahMu, dan kerinduan untuk bertemu denganMu. (Riwayat Imam Ahmad)
3. Itu semua adalah dalam kehidupan yang kekal abadi pada hari akhirat kerana ia adalah negeri pembalasan. Sedangkan kita masih di satu negeri yang disebut sebagai negeri beramal. Kerinduan bertemu Ramadhan masih belum pasti, dan jika sempat bertemu pun bukannya berkekalan. Bagi yang berkesempatan nanti InsyaAllah, bayangkan jika ia merupakan nikmat pertemuan yang terakhir dalam hidup ini. Nabi SAW sendiri meminta kita agar memperbanyakkan mengingati mati walaupun ia belum berlaku, berdasarkan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud:
Perbanyakkanlah kamu semua mengingati pemusnah kelazatan (mati). (Riwayat Tirmizi)
4. Tidak ditentukan kepada kita kaedah tertentu untuk mengingatinya, tidak juga berapa kali dalam sehari, seminggu atau sebulan, tetapi terpulang kepada kita untuk melaksanakan perintah nabi SAW ini, ia akan berbeza-beza mengikut tahap keimanan kita. Boleh jadi ada dalam kalangan kita yang tidak akan mengingati mati melainkan ketika melihat kematian, atau ketika menziarahi orang sakit, atau mungkin apabila mendengar peringatan dan nasihat daripada orang lain. Oleh sebab itu kita dapati Ibn Umar menyebut: Apabila kamu dalam waktu petang maka janganlah menunggu waktu pagi, dan ketika kamu dalam waktu pagi janganlah menunggu waktu petang, sebagai respon kepada hadith nabi SAW berbunyi:
Jadilah kamu di dunia seakan-akan seorang pedagang (sementara), atau hanya lalu sebentar sahaja. (Riwayat al-Bukhari)
5. Nabi SAW juga memberikan isyarat yang kita faham daripadanya, kita perlu mengingati mati setiap dua hari sekali, sebagaimana sabdanya:
Tiadalah hak bagi seorang muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan padanya berlalu dua malam melainkan hendaklah menuliskan wasiat pada sisinya. (Riwayat al-Bukhari)
Ramadhan terakhir selari perintah nabi
6. Oleh itu mengandaikan bahawa Ramadhan yang bakal tiba sebagai Ramadhan terakhir merupakan andaian yang realiti, dan sebarang usaha untuk sampai kepada merasakannya yang terakhir adalah selari dengan perintah nabi SAW. Betapa ramai orang yang bersama-sama kita berpuasa, solat tarawih dan bertadarus dengan kita pada Ramadhan yang lalu, tetapi mereka sekarang sudah bergelar jenazah dan ahli kubur. Kematian itu datang tanpa dijemput serta berlaku dalam masa yang sangat pantas. Tiada seorang pun yang mampu kembali semula ke dunia selepas mati. Firman Allah SAW dalam surah al-Mukminun ayat 99-100 bermaksud:
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat. Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula.
7. Kembali semula selepas kematian adalah mustahil. Mereka yang telah meninggal dunia pula bercita-cita untuk balik ke dunia, bagi yang jahat ingin bertaubat dan bagi yang baik ingin menambahkan lagi amal soleh. Bagaimana jika sekiranya kita akan meninggal dunia di hujung Ramadhan akan datang ini? Kita juga bakal memohon kepada Allah Azza wa Jalla agar dikembalikan semula ke dunia untuk berpuasa dengan cara yang lebih baik, sedekah yang lebih banyak, tadarus al-Qur’an dengan lebih baik dan sebagainya untuk mendapat manfaat di dalam kubur dan sebagai bekalan di hari akhirat.
8. Inilah perasaan yang menjadikan persiapan dan amalan kita berjaya dalam bulan Ramadhan akan datang insyaAllah. Ia adalah kaedah yang bakal menggerakkan diri dan mencetuskan amal. Ia juga mampu menjadi kuasa yang bakal melahirkan umat yang sanggup berkorban, juga boleh membentuk daya kreativiti. Umat Islam silam telah berjaya membuka lembaran hidayah kepada pelbagai penduduk dunia, dan banyak negara tunduk kepada Islam kerana teori ini, teori dan konsep ‘pastinya kematian’. Tentera Islam sentiasa bersedia untuk bertemu Allah SWT. Perhatikan ungkapan panglima Islam yang digelar Saifullah, Khalid bin al-Walid kepada panglima tentera Parsi sewaktu menyifatkan tentera Islam, katanya:
Demi Dia yang tiada Tuhan melainkanNya, aku pasti akan menghantar kepada kamu semua satu kaum yang menyintai kematian sebagaimana kamu semua menyintai kehidupan. (Ibn al-Jauzi, al-Muntadzam Fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, Dar al-Sadr, Beirut, jilid 4, hlmn 101)
Amalan-amalan Ramadhan terakhir
9. Jika kita tahu bahawa ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita, nescaya kita tidak akan leka melaksanakan segala kewajipan yang telah difardhukan oleh Allah SWT. Kita pasti akan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan yang paling elok dan terbaik. Kita tidak akan solat melainkan di masjid, tidak akan berangan-angan dan khayal ketika solat, bahkan kita akan khusyu’ dan menikmati setiap lafaz yang diucapkan dalam solat. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda:
Dan dijadikan keindahan pandangan mataku dalam solat. (Riwayat al-Nasa’ie)
10. Jika kita tahu bahawa ini adalah Ramadhan terakhir, maka kita akan menjaga ibadah puasa kita daripada sebarang perkara yang boleh mengurangkan nilainya di sisi Allah SWT. Boleh jadi sahaja seseorang yang berpuasa, dia tidak mendapat daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. Jadi, kita akan sentiasa mengira dan merenung setiap detik daripada detik-detik Ramadhan adalah sentiasa fi sabilillah di jalan Allah. Kita akan bersungguh-sungguh melawan syaitan dan dunia dengan puasa Ramadhan ini. Inilah yang dikehendaki daripada maksud hadith nabi SAW:
Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan muhasabah, maka akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu. (Riwayat al-Bukhari)
11. Jika Ramadhan kali ini adalah yang terakhir, nescaya kita akan sentiasa menjagasolat al-qiyam (terawih) di masjid setiap malam. Menghayati dan tadabbur setiap ayat al-Qur’an yang dialunkan oleh imam. Terdapat masjid yang imam solat tarawihnya akan menghabiskan satu juzu’ setiap malam. Maknanya kita akan khatam mendengar satu al-Qur’an bila tamatnya Ramadhan. Balik daripada masjid pula, kita sentiasa merindui kalamullah, lalu kita akan terus membacanya dengan lebih banyak lagi di rumah. Ditambah dengan qiamullail dan kita masih tetap membaca lagi al-Qur’an dengan lebih banyak. Kita akan teruskan lagi selepas solat subuh dengan membaca al-Qur’an dan begitulah seterusnya. Diriwayatkan daripada Ayub bin Abu Mulaikah bahawa ‘Ikrimah bin Abi Jahal:
Membuka mushaf dan meletakkannya di matanya sambil menangis, lalu berkata: Kata-kata Tuhanku, kata-kata Tuhanku. (al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jilid 10, hlmn 320)
12. Jika Ramadhan kali ini adalah yang terakhir, maka sebagaimana kita akan melaksanakan semua amalan sunat ketika berpuasa dengan kemampuan yang kita ada, kita juga menjauhkan diri daripada segala pantang larangnya. Berpuasa Ramadhan bukan bermakna tidur sepanjang siang hari berpuasa, menonton televisyen siaran drama bersiri, dan bukan juga membuang masa bersembang dan berbual kosong. Harta yang kita miliki juga bukan untuk simpanan diri semata-mata tetapi sebahagiannya adalah hak fakir miskin yang perlu diberikan. Ini kerana yang kekal abadi adalah yang kita sedekahkan, sedangkan yang kita simpan sebenarnya akan musnah dan tidak kekal. Maka, setiap detik Ramadhan adalah cukup berharga untuk diisi dengan amal dan perkara ma’ruf.
Ramadhan terakhir dan ummah
13. Di samping itu, jika Ramadhan tahun ini adalah yang terakhir buat kita, maka kita tidak akan melupakan nasib umat Islam di seluruh dunia. Mereka sedang menderita kesakitan ditindas dan diseksa. Kezaliman di sana-sini dan keadilan telah dibunuh dengan kejam. Bagaimana nanti kita mampu berdiri di hadapan Allah SWT sedangkan kita tidak ambil peduli terhadap nasib umat Islam. Bumi Palestin dikepung, Iraq dijajah, begitu juga Afghanistan. Pencabulan hak saudara kita di Chechen, Kashmir dan negara-negara umat Islam yang lain. Kita dan seluruh umat Islam leka dan dilekakan.
14. Bolehkah Allah SWT menerima alasan kita; sibuk mengikuti pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia?, atau sibuk dengan anak-anak dan ahli keluarga?. Di manakah perasaan kita sebagai satu ummah? Walaupun kita sibuk dengan ibadah Ramadhan sekalipun, kita tiada alasan di hadapan Allah Azza wa Jalla untuk membiarkan umat Islam yang dibunuh setiap hari, wanita muslimah yang dianiya, kanak-kanak yang diusir dan penempatan umat Islam yang dirobohkan. Kesakitan mereka adalah kesakitan kita. Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Bashir bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Kamu melihat orang-orang beriman dalam belas kasih, kelembutan dan kasih sayang mereka seumpama satu jasad, apabila salah satu anggota mengadu sakit, nescaya anggota-anggota lain turut berjaga dan merasainya. (Riwayat al-Bukhari)
15. Demikianlah jika kita merasakan Ramadhan kali ini adalah yang terakhir. Ia bukan setakat amal soleh, bahkan kita juga mesti mujahadah bersungguh-sungguh. Setiap masa adalah kesungguhan, sama ada Sya’ban, Ramadhan, Syawal dan seterusnya, kerana kita tidak tahu ajal kematian kita.
16. Kesimpulannya, kita tidak mempunyai banyak masa, rebutlah Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya seakan-akan ia yang terakhir dalam hidup kita. Orang yang bijak adalah yang merendah diri dan melakukan amalan untuk selepas kematian.

No comments:
Post a Comment